KUALA LUMPUR: Mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan berlangsung hari ini terpaksa dibatalkan bagi mengawal keributan yang berlaku di dalam gabungan tersebut.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kemelut yang sedang berlaku di dalam PN pada asalnya merupakan perkara kecil atau ‘ribut dalam secawan kopi’ tetapi ia membesar sehingga terkeluar dari ‘cawan’ kerana orang yang bertanggungjawab gagal mengawalnya.
Beliau berkata, Mesyuarat tergempar MT PN dibatalkan selepas presiden parti-parti komponen menerima surat dari Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghadiri mesyuarat di kediamannya.
“Yang agak seriusnya dalam surat tersebut, Muhyiddin menyatakan bahawa mesyuarat luar biasa yang dipanggil oleh Timbalan Setiausaha Agung adalah tidak wajar dan sepatutnya dibatalkan.
“Jadi atas dasar itu, dalam keadaan untuk mengawal ‘ribut dalam cawan’ ini telah mengeluarkan notis membatalkan mesyuarat malam ini, macam mana nak buat mesyuarat sebab presiden-presiden parti anggota telah dipanggil pada tarikh dan masa yang sama tetapi di tempat yang berbeza. Tidak mungkin satu orang boleh hadir di dua lokasi berbeza,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan, Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan pada hari ini dibatalkan, sebaliknya ketua empat parti komponen gabungan itu akan mengadakan pertemuan di kediaman Muhyiddin.
Difahamkan, pertemuan ketua-ketua parti itu adalah mesyuarat awal bagi menentukan hala tuju sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN serta melantik penggantinya.
Mengulas mengenai pemansuhan jawatan Pengerusi PN, Takiyuddin berkata, surat dari Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kepada Muhyiddin sudah menjelaskan bahawa isu berkaitan kedudukan Pengerusi PN tidak dibincangkan langsung dalam pertemuan pada 16 Januari lalu.
“Isu itu tidak pernah dibangkitkan semasa perbincangan tempoh hari, jadi timbul keputusannya dan kalau pun itu dianggap sebagai satu benda yang dipercayai diputuskan, Presiden Pas dengan jelas mengatakan bahawa Pas tidak setuju jawatan Pengerusi PN dimansuhkan, ia mesti kekal sebagaimana ada dalam perlembagaan.
“Pendirian Pas dengan jelas berdasarkan surat Presiden Pas, kami mahu struktur PN kekal sebagaimana dalam perlembagaan, tidak boleh diubah, jika diubah ianya adalah satu tindakan yang tidak berpelembagaan dan mungkin satu tindakan boleh diambil oleh pihak berkuasa terutama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas itu berkata, Muhyiddin tidak dipanggil menghadiri Mesyuarat MT PN adalah kerana beliau sudah meletakkan jawatannya yang secara automatik kehilangan jawatan ahli MT pada waktu sama.
“Pada pandangan kami yang kami faham berdasarkan perlembagaan ini, Pengerusi PN sebelum ini yang sudah meletakkan jawatan sudah tidak lagi menjadi ahli MT PN kerana dari segi undang-undang, seseorang yang meletakkan jawatan on top of that dia meletakkan satu tarikh berkuatkuasa perletakkan jawatan. Dalam surat itu jelas.
“Jadi pada pandangan kami, ada satu konsep dalam undang-undang iaitu functus officio iaitu sudah diambil kira walaupun perlembagaan kata perlu mendapat kelulusan MT PN, itu hanya formaliti untuk mengesahkan peletakan jawatan sahaja,” katanya. – UTUSAN






