PETALING JAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai delegasi Malaysia ke Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) dan mesyuarat berkaitan di Cebu City, Filipina.
Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan-Cebu dan disambut oleh Penolong Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA), Ariel Rodelas Peñaranda.
Beliau akan menyertai Menteri-Menteri Luar ASEAN lain ke pemukiman itu yang merupakan mesyuarat rasmi pertama ASEAN tahun ini di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Filipina bertemakan ‘Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama’.
Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn turut menghadiri pertemuan berkenaan.
Mohamad juga dijadual menghadiri Rundingan Tidak Rasmi Lanjutan mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) hari ini.
Malaysia mengesahkan semula komitmennya untuk menyokong Filipina pada 2026 dalam isu Myanmar melalui mekanisme Troika bersama Filipina dan Singapura.
Pada sebelah malam, beliau akan menghadiri majlis makan malam alu-aluan dihoskan oleh Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Ma Theresa P Lazaro.
Esok, Mohamad akan menghadiri sesi pemukiman dipengerusikan oleh Lazaro, selain dijangka menyampaikan pandangan Malaysia mengenai perkembangan utama serantau dan antarabangsa.
Beliau turut dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dengan fokus perbincangan kepada usaha meningkatkan kerjasama dua hala dengan negara-negara terbabit.
Semasa pemukiman, Pengerusi ASEAN dijangka membentangkan bidang keutamaan dan keberhasilan kepengerusiannya.
Sesi pemukiman ini memberi ruang kepada Malaysia dan negara anggota ASEAN lain untuk memperkukuh usaha bersama ke arah pembinaan Komuniti ASEAN yang terangkum, mampan dan berdaya tahan, khususnya dalam mendepani perubahan dan ketidaktentuan landskap geopolitik dan geoekonomi semasa.
Menteri-Menteri Luar ASEAN akan menyemak semula pelaksanaan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan di Kuala Lumpur pada Oktober 2025 serta bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Semalam, Jurucakap Filipina bagi Hal Ehwal ASEAN, Dominic Xavier M Imperial dilaporkan berkata, isu serantau dan antarabangsa dijangka dibincangkan dalam suasana terbuka sepanjang pemukiman.
“Dengan format sedemikian, semua menteri luar dan wakil bebas membangkitkan apa sahaja kebimbangan berkaitan perkembangan serantau dan global,” katanya. – UTUSAN






