PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa menjadi perosak hubungan parti dengan Pas sehingga mungkin berlaku perpecahan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau berharap pemimpin-pemimpin Pas faham bahawa yang merosakkan hubungan itu hanya Muhyiddin bersama kelompok kecil yang bergantung talian hayat pada bekas Pengerusi PN itu.
Kata beliau, usaha sabotaj ukhuwah dan memecah kesatuan oleh Muhyiddin tidak membayangkan sikap majoriti lebih besar yang mahu hubungan antara dua parti itu kekal utuh dan murni.
“Dalam Bersatu sendiri tekanan untuk Muhyiddin melepaskan jawatan Presiden semakin vokal kedengaran. Ini membayangkan bahawa akar umbi mahu hubungan Pas-Bersatu kekal, malah diperkukuhkan lagi.
“Muhyiddin sudah tiada sokongan dalam Bersatu. Malahan yang menjawab bagi pihaknya hanyalah pegawai yang pernah dibayar gaji dan pemegang jawatan parti yang dia lantik,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, jumlah pemimpin dipilih oleh ahli Bersatu mempertahankan Muhyiddin adalah sedikit.
“Malahan, Ketua-Ketua Bahagian Sabah, Perak, dan Johor pun dah ramai bersuara menolak Muhyiddin. Johor itu negeri Muhyiddin sendiri.
“Dalam konteks PN, krisis kepimpinan yang dihadapi hari ini pada asasnya amat mudah untuk diselesaikan.
“Majoriti yang besar bersetuju bahawa Pas amat layak menerajui PN. Maka jika Muhyiddin mahu permudahkan, terima sajalah sesiapa yang dicalonkan oleh Pas,” katanya.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata, Muhyiddin sengaja mahu menyusahkan dengan meletak syarat bahawa Pengerusi PN mesti presiden parti.
“Kalau Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kata beliau tak mahu, Muhyiddin nak lantik Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Punithan Paramsiven jadi Pengerusi PN?
“Malahan, kalau Muhyiddin mahu mengekalkan Bersatu sebagai Pengerusi, saya yakin rakan-rakan PN bersedia pertimbangkan jika parti mencalonkan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai pengganti.
“Tapi sekali lagi, Muhyiddin sengaja menyusahkan dengan tidak mahu menamakan Hamzah, sebaliknya kem Muhyiddin mahu membunuh Hamzah,” katanya. – UTUSAN





