KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menyiasat lebih 500 perusahaan dipercayai terlibat dalam aktiviti anti-persaingan termasuk kartel dan tipuan bida.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, bagi tempoh 2022 hingga 2025, sebanyak empat keputusan akhir telah diambil termasuk melibatkan satu tender di Perbadanan Putrajaya.
“Terdapat empat jenis kartel di bawah Akta Persaingan 2010 iaitu pakatan harga, pakatan pasaran, pakatan pengeluaran dan tipuan bida.
“Sekiranya kita membuka ruang kepada tender terbuka tetapi wujud aktiviti tipuan bida, ia akan merencatkan usaha kerajaan untuk mencapai matlamat ketelusan dan keadilan dalam perniagaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas pemeteraian Surat Persefahaman (LoU) antara MyCC dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Armizan berkata, kerjasama strategik itu dimeterai bagi memperkukuh pelaksanaan agenda kerajaan dalam membanteras amalan anti-persaingan khususnya kartel dan pakatan tipuan bida melalui pendekatan ‘Whole-of-Government’.
Katanya, komitmen tersebut selari dengan hasrat Kerajaan Madani untuk meningkatkan tatakelola serta mengekang sebarang bentuk salah guna kuasa dan rasuah.
“Kerajaan turut meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta pada tahun 2026 bagi menubuhkan unit khas di bawah MyCC yang akan memfokuskan sepenuhnya kepada isu tipuan bida.
“Malah, usaha ini akan diperkukuh melalui kerjasama bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mewujudkan ekosistem persaingan yang lebih sihat dan bersih dalam pentadbiran awam,” katanya.
Sementara itu, Hannah berkata, latihan diberikan oleh MyCC kepada pegawai perolehan di bawah JWP, melahirkan lebih ramai pakar dalaman bagi memastikan setiap kontrak kerajaan mencapai nilai sebenar dan kualiti terbaik.
Katanya, pendekatan itu mampu menutup segala ruang ketirisan sekali gus memastikan setiap sen peruntukan rakyat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kekurangan atau ketirisan sukar dikawal melalui tender terbuka semata-mata kerana kita tidak akan tahu kewujudan kartel tanpa kepakaran khusus.
“Apabila MyCC masuk, mereka boleh mengenal pasti secara langsung berdasarkan kemahiran mereka dan menunjukkan kepada kita sekiranya wujud pakatan haram tersebut,” katanya.
Hannah berkata, kerjasama strategik itu turut melibatkan enam agensi di bawah kawal selia JWP iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan (PL), Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP), Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP).
“Melalui penglibatan agensi-agensi utama ini, JWP komited untuk menyalurkan maklumat serta membuat laporan terus kepada MyCC sekiranya terdapat sebarang petunjuk yang menjurus kepada amalan anti-persaingan dalam pentadbiran mereka,” katanya.





