SHAH ALAM: “Jangan ada gangguan pihak ketiga.”. Itu syarat dikemukakan penyanyi, Nora Ariffin, 52, sebelum bersetuju menarik balik permohonan cerai difailkan terhadap suami, Dr. Rushdi Ramli, 59, sekitar April tahun lalu.
Nora berkata, beliau sedia meneruskan perkahwinan dengan syarat tiada pihak lain mencampuri urusan rumah tangganya.
“Kita ikhtiar dan usahakan, selainnya saya serahkan kepada Allah kerana Dia pegang dan mampu mengubah hati manusia.
“Walau bagaimanapun saya tidak membuat keputusan ini sendirian, ada kakak dan ahli keluarga lain menasihatkan saya,” katanya selepas sesi pendengaran keputusan hakam semalam.
Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling pagi semalam ditemani kakaknya, Wan Suraya Ariffin, 69, manakala Rushdi hadir bersama peguam, Azmi Mohd. Rais.
Penyanyi lagu Hanya Satu itu pada masa sama bersyukur kerana perkahwinan bersama Rushdi diselamatkan dan tidak berakhir dengan perceraian.
“Saya sangka hari ini saya dan suami akan berpisah. Apabila masih bersama itu maksudnya jodoh kami masih panjang, Alhamdulillah.
“Saya percaya Allah menentukan segalanya dan saya yakin semua yang berlaku ini adalah atas kehendaknya,” katanya lagi.
Sementara Azmi memaklumkan Nora boleh memfailkan injunksi sekiranya masih menerima gangguan pihak ketiga selepas menarik balik permohonan cerainya.
Penarikan semula ini dibuat bersyarat iaitu beliau tidak mahu ada gangguan orang ketiga terhadap rumah tangganya.
“Hakim meluluskan penarikan semula permohonan cerai itu namun dalam masa sama memaklumkan yang Nora berhak memfailkan injunksi jika menerima gangguan pihak ketiga.
“Beliau juga berhak memfailkan kes nuisance (ganggu kacau) di mahkamah sivil jika perlu,” katanya.
Sementara itu, Rushdi berkata, akan lebih tegas dalam menangani isu gangguan pihak ketiga yang hampir meranapkan rumah tangganya dengan penyanyi tersebut.
“Saya bersyukur ke-hadrat Allah SWT. Ini yang saya harapkan. Alhamdulillah, Nora bersedia tarik balik permohonan (cerai),” katanya.
Sekitar April tahun lalu, Nora memfailkan permohonan cerai di mahkamah sama susulan krisis rumah tangga, campur tangan pihak ketiga dan kegagalan mencapai kata sepakat dengan suami.
Pasangan ini bergelar suami isteri lima tahun lepas dengan pemberitahuan itu dibuat menerusi media sosial. – UTUSAN






