PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan 138 individu yang menjadi mangsa pemerdagangan orang dalam 77 serbuan yang dilakukan serentak di seluruh negara menerusi Op Pintas Khas, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi bersepadu itu dilakukan oleh Bahagian D3 JSJ Bukit Aman dengan penglibatan 14 kontinjen serta kerjasama strategik pelbagai agensi penguatkuasaan.
Katanya, operasi melibatkan serbuan serentak ke atas 77 lokasi di seluruh negara merangkumi 12 premis sektor perkilangan,19 sektor perladangan , 41 sektor perkhidmatan dan perniagaan serta lima sektor lain.
“Hasil operasi, seramai 138 mangsa berjaya diselamatkan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
“Mangsa terdiri daripada 58 lelaki dan 23 perempuan dewasa berusia 18 hingga 51 tahun, selain 39 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan berusia antara 12 hingga 17 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kumar berkata, mangsa yang diselamatkan terdiri daripada lapan rakyat tempatan, Filipina (8), Indonesia (34), Bangladesh (13), Myanmar (75) dan seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (pekak dan bisu).
Beliau berkata, antara indikator buruh paksa dan pemerdagangan orang yang dikenal pasti ialah eksploitasi kerentanan, perdayaan, kawalan pergerakan, pengurungan, penahanan dokumen identiti, penahanan gaji, kondisi kerja dan tempat tinggal yang terabai serta kerja lebih masa yang melampau.
Katanya, seramai 67 individu iaitu 57 lelaki dan 10 wanita berusia antara 30 hingga 69 tahun turut ditahan dalam operasi berkenaan.
“Seramai 42 adalah warga tempatan manakala 25 warga asing yang disyaki bertindak sebagai majikan kepada semua mangsa yang diselamatkan,” katanya.
Beliau berkata, kesemua tangkapan dibawa ke ibu pejabat polis daerah berkaitan bagi siasatan lanjut mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah pemerdagangan orang,” katanya. – UTUSAN





