KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat cawangan firma guaman antarabangsa di United Kingdom (UK) kerana disyaki menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, siasatan dilakukan di bawah kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).
“Tumpuan siasatan SPRM adalah pada cawangan firma guaman antarabangsa yang berada di UK. Walau bagaimanapun, SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan tersebut berdasarkan Subseksyen 29(4) Akta SPRM 2009 (Akta 694).
“SPRM sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab secara bebas, telus dan profesional, selaras dengan peruntukan di bawah Akta 694 serta prinsip Kedaulatan Undang-Undang,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta kerajaan menyatakan nama firma guaman antarabangsa yang terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB serta jumlah dana terlibat.
Lip Eng turut bertanyakan sama ada terdapat firma guaman atau firma perakaunan tempatan yang turut terlibat dalam penyelewengan itu. – UTUSAN





