MELAKA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menyindir kemunculan semula beberapa pemimpin yang disifatkan sebagai ‘pemimpin jadian’ apabila mereka mula turun padang di Melaka menjelang tahun pilihan raya.
Beliau berkata, situasi itu bukan perkara baharu apabila ada dalam kalangan mereka yang sebelum ini ‘menghilang’ hampir empat tahun, namun kembali aktif hanya beberapa bulan sebelum rakyat keluar mengundi.
“Alhamdulillah, ramai dah pemimpin jadian mula turun di Melaka disebabkan tahun ini nak pilihan raya. Selama empat tahun duduk bertapa, kini masa mereka beraksi untuk beberapa bulan sebelum pilihan raya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tambah beliau, keadaan itu dijangka berulang apabila proses pilihan raya selesai, dengan golongan terbabit dipercayai akan kembali menyepi daripada masyarakat.
“Dan pastinya bila habis pilihan raya nanti, maka mereka ini akan kembali bertapa semula dalam rumah agam mereka. Selamat beraksi semua ya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Akmal turut menyuarakan keyakinan bahawa rakyat Melaka mempunyai kebijaksanaan tersendiri dalam menilai keikhlasan pemimpin yang benar-benar berkhidmat, bukan sekadar muncul ketika musim pilihan raya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mempermainkan kepercayaan rakyat dan menjadikan politik sebagai medan lakonan semata-mata, sebaliknya perlu tampil dengan komitmen berterusan terhadap kebajikan masyarakat.
Menurut Akmal, Pemuda UMNO akan terus memperkukuh gerak kerja akar umbi bagi memastikan suara rakyat didengar serta perjuangan parti kekal berpaksikan khidmat, bukan retorik bermusim. – UTUSAN






