PETALING JAYA: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag bermula hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan.
Pusat pengundian dibuka pada pukul 8 pagi dan dijadualkan ditutup pukul 5 petang.
Seramai 196 anggota polis terlibat dalam proses pengundian awal tersebut bagi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd. Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Parti Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
Bagi DUN Lamag pula, pertandingan satu lawan satu berlangsung antara Mohd. Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Parti Warisan).
PRK diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember 2025.
Parlimen Kinabatangan mempunyai 48,722 pengundi berdaftar manakala DUN Lamag pula melibatkan 13,899 pengundi. – UTUSAN





