PETALING JAYA: Pertemuan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Presiden Russia Vladimir Putin mengukuhkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.
Menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Ibrahim disambut mesra Presiden Russia Vladimir Putin di Muzium Hermitage, St Petersburg.
Kata hantaran itu, keberangkatan Seri Paduka Baginda ke muzium berprestij dunia itu sekaligus menyerlahkan peranan Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara khususnya dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Russia.
“Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa dengan diiringi Presiden Putin meninjau sebahagian koleksi bersejarah dan karya seni bertaraf dunia yang dipamerkan di muzium berkenaan.
“Lawatan khas julung kali Seri Paduka Baginda ke Saint Petersburg adalah atas jemputan khas Presiden Putin sekaligus melambangkan peranan penting Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara,” kata kenyataan itu.
Ditubuhkan pada 1755, Muzium Hermitage adalah antara muzium seni dan kebudayaan terbesar serta tertua di dunia, menempatkan lebih tiga juta karya seni selain artifak bernilai tinggi.
Pada Ogos tahun lalu, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Moscow bagi mengadakan Lawatan Negara sekali gus melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia pertama berkunjung secara rasmi ke Persekutuan Russia sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1967. – UTUSAN






