BUKIT MERTAJAM: Pelaksanaan prinsip tatakelola yang baik menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengukuhan tersebut menjadikan mata wang Malaysia itu kini bukan sahaja terbaik dalam kalangan negara-negara serantau, malah, berada pada prestasi terbaik di peringkat Asia.
“Di seluruh Asia ini, ringgit kita terbaik. Sebab itu saya kata, kita mula dengan tatakelola. Jangan apabila ada duit lebih, ‘sapu’ masuk dalam poket. Ada duit lebih, ambil komisyen. Ada duit lebih, percayakan anak beranak.
“Jika tidak, ini akan menyebabkan orang tidak yakin kepada kita,” katanya ketika berucap pada Karnival Kebudayaan Madani dan Kenduri Rakyat di pekarangan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah di Permatang Pasir, di sini.
Ringgit dijangka didagangkan di bawah paras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama dalam tempoh hampir lapan tahun, minggu depan.
Ia susulan pengukuhan mata wang tempatan di akhir dagangan minggu ini kepada 4.0020/0080, selepas dibuka kukuh pada 4.0285/0440 berbanding 4.0370/0415 pada Khamis.
Difahamkan, kali terakhir ringgit diniagakan di bawah paras RM4 berbanding dolar AS adalah pada 18 Jun 2018, pada RM3.9978.
Dalam perkembangan lain, Anwar memberitahu, kerajaan kini sedang berikhtiar untuk melaksanakan perubahan yang terbaik demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Bagaimanapun, beliau berkata, antara syarat yang perlu dipenuhi bagi tujuan itu ialah memastikan bahawa keamanan negara berada dalam keadaan yang terjamin.
“Saya ada sebut sebelum ini bahawa kita kena terima kenyataan tentang sumbangan Angkatan Bersenjata kita. Tentera, polis, agensi sempadan dan sebagainya.
“Cuba tengok (keadaan) negara-negara termasuk di ASEAN, kita antara yang paling aman. Jadi, apabila kita sebut tentang ekonomi, jangan mula dengan ekonomi. Tapi, mulailah dengan keamanan. Tugas siapa (jaga keamanan)? Tugas tentera dan polis,” katanya. – UTUSAN






