BUTTERWORTH : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan tiga kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi satu kilogram (kg) dalam tiga serbuan berasingan menerusi Op Tiris 3.0 di sekitar Sungai Bakap dan Jalan Pekan Darat di sini, bermula semalam.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, ketiga-tiga serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menjalankan intipan selama kira-kira sebulan dalam usaha untuk mengumpulkan maklumat berkaitan kegiatan berkenaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga kegiatan penyelewengan itu didalangi oleh tiga sindiket yang berbeza dan mereka juga didapati telah beroperasi antara tempoh dua hingga enam bulan tanpa memiliki lesen atau permit yang sah untuk memiliki serta menguruskan barang kawalan berjadual.
“Dalam serbuan yang dilakukan di Jalan Pekan Darat di sini sebagai contoh, sindiket yang terlibat telah menjadikan sebuah rumah yang tidak berpenghuni serta tidak mempunyai bekalan elektrik sebagai stor untuk menyimpan bekalan minyak masak bersubsidi itu.
“Selain sejumlah minyak masak, turut dijumpai dalam serbuan ini ialah beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses minyak masak terbabit sebelum dijual semula seperti motor pam beserta hos, corong minyak, pisau pemotong serta sejumlah bungkusan plastik kosong minyak masak paket satu kg yang telah dipotong,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jegan berkata, siasatan lanjut mendapati, modus operandi yang digunakan oleh sindiket yang terlibat ialah mengumpul dan memindahkan minyak masak ke dalam tangki ‘IBC’ sebelum dimasukkan dalam bekas tong berkapasiti 17kg untuk dijual kepada restoran berhampiran pada harga RM4 sekilogram dengan memperoleh keuntungan sebanyak RM1.50 bagi setiap peket.
“Secara keseluruhannya, jumlah minyak masak bersubsidi yang dirampas oleh KPDN Pulau Pinang dalam ketiga-tiga serbuan itu dianggarkan berjumlah RM25,962.40.
“Kesemua kes kini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan,” ujar beliau.-UTUSAN





