KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyelesaikan isu bayaran balik (refund) Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang tertunggak sebelum sebarang perbincangan mengenai pelaksanaan semula sistem cukai itu dibuat.
Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berkata, semasa pelaksanaan GST sebelum ini, sebanyak RM39 bilion bayaran balik tidak dikembalikan, sekali gus memberi kesan besar kepada aliran tunai dan kelangsungan perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Sebelum kita menikmati apa-apa manfaat, kerajaan harus menyelesaikan terlebih dahulu masalah refund GST yang tidak dibayar balik.
“Ketika GST dilaksanakan, RM39 bilion bayaran balik tidak dikembalikan dan sehingga kini masih wujud masalah LHDN tidak memulangkan bayaran balik kepada perniagaan,” katanya bagi menjawab soalan tambahan ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Terdahulu, Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) meminta Guan Eng menjelaskan adakah beliau menyokong jika GST dilaksanakan semula.
Mengulas lanjut, Guan Eng turut berkata, kegagalan menyelesaikan isu tersebut akan terus menghantui dunia perniagaan dan mencacatkan keupayaan syarikat untuk membuat bayaran serta mengekalkan operasi di Malaysia.
“Jika masalah ini tidak diselesaikan, ia akan terus membebankan perniagaan. Selesaikan masalah ini dahulu, barulah kita boleh bincang secara serius mengenai merit dan kelebihan GST,” katanya. – UTUSAN





