KUALA LUMPUR: Lebih 53 peratus daripada 9.1 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai simpanan kurang RM1,300, sekali gus menuntut pelaksanaan langkah simpanan lebih tersusun, sistematik dan mampan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, antara faktor utama penangguhan tawaran haji sebelum ini ialah simpanan tidak mencukupi, selain masalah kesihatan, urusan peribadi dan faktor lain.
“Purata pendeposit juga tidak membuat simpanan secara konsisten bagi persiapan haji,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai langkah kerajaan mempermudah akses pendeposit TH menunaikan ibadah haji tanpa menghadapi masalah kewangan dan kesihatan, bagi memastikan mereka tidak menolak tawaran seperti musim lalu.
Marhamah berkata, daripada pendeposit yang menangguhkan tawaran haji bagi musim 1447 Hijrah, 10 peratus berbuat demikian kerana simpanan tidak mencukupi, 36 peratus masalah kesihatan, 37 peratus faktor peribadi dan 17 peratus faktor lain.
Sehubungan itu, TH sedang melaksanakan inisiatif simpanan sistematik jangka panjang untuk membantu pendeposit merancang simpanan haji lebih berdisiplin, selain memperkasakan pendidikan bakal jemaah melalui kursus asas seawal dua tahun sebelum tahun giliran.
Beliau turut memaklumkan langkah TH menetapkan syarat simpanan minimum RM15,000 bagi layak menerima surat tawaran haji berjaya menurunkan kadar penangguhan daripada 50 peratus musim lalu kepada 18 peratus tahun ini.
“Langkah ini memastikan bakal jemaah memenuhi syarat kemampuan dari segi kewangan, kesihatan, keselamatan dan kuota daripada Kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Bagi cadangan membuat tawaran haji lebih awal, Marhamah menjelaskan ia hanya boleh dilaksanakan selepas kos haji dimuktamadkan dan kuota diperoleh, namun pendeposit boleh menyemak status haji dan merancang persiapan melalui platform digital THiJARI.
Beliau berkata, model pemilihan jemaah bersasar berdasarkan kemampuan kewangan masih dalam kajian kerana melibatkan kos dan kuota. – UTUSAN






