PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menjalankan siasatan terhadap pengurusan tertinggi sebuah syarikat konglomerat pembinaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi memaklumkan adanya siasatan itu namun enggan mengulas lanjut secara terperinci mengenainya.
Terdahulu, satu portal berita mendedahkan siasatan terbabit berhubung skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion
Lapor portal itu, SPRM mengenal pasti dua eksekutif syarikat itu sebagai ‘individu berkepentingan’, namun kedua-duanya kini berada di luar negara.
Siasatan dimulakan susulan tindakan Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom menyiasat dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan pelaburan berbilion ringgit yang dikaitkan dengan dua individu tersebut.
Dakwa portal itu, SPRM masih dalam proses mengumpul maklumat berhubung dakwaan terbabit dan kertas siasatan rasmi belum dibuka.
Selain sedang meneliti kemungkinan berlakunya manipulasi harga saham yang mempunyai kaitan dengan kes pengubahan wang haram tersebut. – UTUSAN





