GOMBAK: Pengunjung yang menghadiri sambutan Thaipusam di sekitar Batu Caves diingatkan supaya menjaga tingkah laku serta menghormati adat dan mematuhi kehendak keagamaan sepanjang perayaan itu berlangsung.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, Thaipusam adalah upacara keagamaan suci dan bukan medan hiburan atau perlakuan tidak wajar.
Menurutnya, setiap pengunjung perlu memahami serta mematuhi batas dan adab yang ditetapkan sepanjang sambutan perayaan keagamaan berkenaan.
“Ada perkara yang dibenarkan dan ada yang dilarang. Nasihat saya, patuhilah adat serta tuntutan agama kerana Thaipusam bukan majlis untuk bersukaria,” katanya pada sidang akhbar pada Program Kepolisan Komuniti ‘Thaneer Panthal’ PDRM Tahun 2026 sempena Sambutan Hari Thaipusam di Kuil Sri Subramaniam Swamy, Batu Caves, di sini, hari ini.
Tambah Kumar, kira-kira 1,000 beg cenderahati turut diagihkan kepada pengunjung yang hadir serta seramai 88 pegawai dan anggota polis Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mula bertugas hari ini bagi memastikan kelancaran sambutan Thaipusam
“Selain itu, pihak polis turut mengedarkan kira-kira 1,000 beg cenderahati yang mengandungi pelbagai maklumat penting termasuk berkaitan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) serta panduan tindakan sekiranya mengesan sebarang penipuan, selain makanan dan minuman.
“Seramai 88 pegawai dan anggota polis ditugaskan bermula hari ini hingga malam esok bagi memastikan kelancaran, keselamatan serta pengagihan barangan sepanjang sambutan Thaipusam,” katanya. – UTUSAN





