KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini menjalani rawatan pemulihan di Institut Jantung Negara (IJN) susulan kecederaan patah tulang pinggul kanan.
Menerusi kenyataan, Tun Dr. Mahathir mengalami kecederaan tersebut selepas terjatuh di kediamannya di The Mines pada 6 Januari lalu.
Susulan kejadian itu, beliau telah dimasukkan ke IJN untuk menerima rawatan lanjut dan ketika ini menjalani fisioterapi secara berperingkat tanpa perlu menjalani pembedahan.
Pihak perubatan dan doktor pakar memaklumkan bahawa mereka berpuas hati dengan perkembangan proses pemulihan ditunjukkan selepas 14 hari Tun Dr. Mahathir menerima rawatan di institusi berkenaan.
Bagaimanapun, proses pemulihan melalui fisioterapi dijangka mengambil masa yang agak panjang mengambil kira faktor usia serta keperluan rawatan yang dilakukan secara berperingkat.
Dalam pada itu Tun Dr. Mahathir dan keluarga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa mengambil berat, bertanyakan khabar serta mendoakan kesihatan beliau.
Pihak keluarga turut memohon maaf kerana atas nasihat pakar perubatan, lawatan buat masa ini dihadkan kepada ahli keluarga terdekat sahaja.
Pada 6 Januari lalu, Tun Dr. Mahathir dikejarkan ke IJN kira-kira jam 9.30 pagi selepas terjatuh di kediamannya. – UTUSAN






