KUALA NERUS: Inisiatif meletakkan beg pasir di Pantai Seberang Takir di sini, membantu mengurangkan limpahan air laut ke kawasan daratan dan jalan utama khususnya ketika Monsun Timur Laut dan kejadian air pasang besar, meskipun langkah tersebut bersifat sementara.
Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, secara asasnya beg pasir berfungsi sebagai penghadang fizikal bagi mengurangkan tenaga hentaman ombak secara langsung ke pantai dan kawasan daratan.
Katanya, mekanisme tersebut membantu melambatkan kadar hakisan pantai selain mengurangkan kekerapan kejadian air ke puncak bendungan yang sering berlaku di kawasan berkenaan.
“Dari sudut hidrodinamik, beg pasir berperanan menyerap dan menyebarkan tenaga ombak, menyebabkan ombak pecah lebih awal sebelum sampai ke pantai.
“Kesan ini dapat mengurangkan ketinggian dan tenaga gelombang yang tiba di kawasan pantai, sekali gus mengurangkan kadar hakisan serta limpahan air laut,” katanya kepada Nexbyte di sini.
Effi Helmy berkata, keberkesanan penggunaan beg pasir, adalah terhad dan hanya sesuai sebagai langkah jangka pendek atau mitigasi kecemasan.
“Beg pasir digunakan kebiasaannya diperbuat daripada bahan geotekstil berasaskan polipropilena yang tahan ter-hadap sinaran ultraungu dan air masin, menjadikannya lebih sesuai untuk digunakan dalam persekitaran marin berbanding guni konvensional.
“Bahan ini lebih kukuh dan tahan lama. Kandungan di dalam beg pula lazimnya terdiri daripada pasir tempatan atau pasir kasar yang berfungsi sebagai pemberat dan medium penyerap tenaga ombak,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan beg pasir di Pantai Seberang Takir wajar dilihat sebagai usaha awal untuk mengurangkan impak segera hakisan pantai.
“Penyelesaian jangka panjang memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh melalui konsep Hybrid Solution, iaitu gabungan struktur kejuruteraan kekal dan pendekatan berasaskan alam semula jadi bagi memastikan perlindungan pantai yang lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya. – UTUSAN






