PETALING JAYA: Cadangan mengenai kajian kebolehlaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur perlu diteliti dengan lebih berhati-hati serta rasional dan bukannya tergesa-gesa atas nama reformasi.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, beberapa perkara asas perlu ditegaskan secara berprinsip dan fakta iaitu isu asas tadbir urus belum selesai.
“Kekeliruan yang disebut sendiri oleh Menteri tentang siapa perlu didengar oleh Datuk Bandar sebenarnya berpunca daripada kegagalan menyusun struktur kuasa dan semak imbang yang jelas antara Kerajaan Persekutuan, Ahli Parlimen dan DBKL.
“Mengadakan pilihan raya Datuk Bandar tanpa membetulkan kecelaruan ini hanya memindahkan masalah, bukan menyelesaikannya,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, memilih Datuk Bandar secara langsung tanpa majlis bandar raya yang dipilih rakyat berpotensi mewujudkan satu pusat kuasa yang lebih kuat dan sukar dikawal.
Katanya, ia bercanggah dengan prinsip tadbir urus baik yang menuntut kuasa diagih dan diawasi bukan dipusatkan pada satu individu walaupun dipilih melalui pilihan raya.
“Ketiganya, Kuala Lumpur bukan bandar biasa. Ia adalah Wilayah Persekutuan yang mempunyai implikasi Perlembagaan, sejarah dan keseimbangan sosial tersendiri.
“Sebarang perubahan besar termasuk pilihan raya tempatan mesti mengambil kira realiti demografi, kedudukan Melayu Bumiputera serta peranan Raja Berperlembagaan, bukan semata mata meniru model luar.
“Apabila Menteri sendiri mengakui kelayakan pengundi masih tidak jelas sama ada berdasarkan pemilikan rumah, status penyewa atau tempat kerja, ini menunjukkan cadangan ini masih mentah. Demokrasi tidak boleh dibina atas asas yang kabur dan berpotensi menafikan hak sebahagian warga kota,” katanya.
Tambah Mohamed Sukri, penubuhan jawatankuasa pemantauan DBKL yang dipengerusikan Ahli Parlimen mesti benar benar berfungsi sebagai mekanisme semak imbang profesional, bukan saluran pengaruh politik atau bayangan kuasa eksekutif baharu yang menenggelamkan peranan Datuk Bandar dan pentadbiran bandar.
“Bantahan ini bukan penolakan membuta tuli terhadap demokrasi tempatan. Ia adalah penegasan bahawa pembaharuan mesti berasaskan keadilan, kestabilan, Perlembagaan dan realiti masyarakat Malaysia.
“Kuala Lumpur tidak memerlukan eksperimen politik tergesa gesa. Ia memerlukan tadbir urus yang kemas, telus dan berwibawa demi kepentingan semua warga kota. Reformasi yang baik ialah reformasi yang menyatukan, bukan mencetuskan kecelaruan baharu,” katanya. – UTUSAN






