PETALING JAYA: Dua lagi Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat parti.
Mereka adalah Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
Menerusi surat pemecatan yang dikeluarkan Lembaga Disiplin Bersatu, Azahari dan Fathul Huzir sudah melanggar Perlembagaan parti.
Pengerusinya, Datuk Mohd Radzi Manan berkata, Lembaga Disiplin sudah bersidang semalam dan memutuskan bahawa dua pemimpin itu dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuatkuasa mulai hari ini.
Beliau berkata, pemecatan itu kerana dua pemimpin tersebut melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
“Sila ambil perhatian bahawa notis ini berkuat kuasa serta-merta. Walaubagaimanapun pihak Yang Berhormat boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” katanya.
Sebelum mereka, Hamzah yang merupakan Timbalan Presiden Bersatu dipecat kerana didakwa mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dimaklumkan bahawa Lembaga Disiplin memutuskan bahawa Hamzah dipecat serta merta.
Beliau berkata, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang itu sudah melanggar Perlembagaan Bersatu. – UTUSAN






