KUALA LUMPUR: Penyelarasan skim perkhidmatan dan gaji guru di kolej matrikulasi dan guru tingkatan enam dijangka dimuktamadkan tahun ini.
Ini susulan keputusan kerajaan meletakkan keseluruhan sistem pra-universiti iaitu tingkatan enam dan matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bermula tahun depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ia sedang diperhalusi kerana melibatkan guru-guru yang berada di bawah skim gaji berbeza.
Ujarnya, selain itu, persoalan sama ada mereka kekal sebagai guru atau dikategorikan pensyarah apabila berlaku anjakan pentadbiran juga memerlukan penelitian.
Katanya, perubahan tersebut akan memberi implikasi terhadap struktur gaji dan laluan kerjaya masing-masing.
“Kita harap kalau dapat tahun ini, dapat kita selesaikan perkara tersebut kerana ia melibatkan guru-guru yang sedang mengajar di peringkat matrikulasi dan juga STPM,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Zambry berkata, terdapat beberapa perkara teknikal yang perlu diteliti termasuk mekanisme pergerakan gaji serta kemungkinan pewujudan skim baharu sekiranya perlu.
Katanya, bagaimanapun matrikulasi dan STPM kekal sebagai program pra-universiti dan tidak boleh dianggap sebagai skim universiti.
“Saya perlu jelaskan bahawa matrikulasi dan STPM adalah pra-universiti. Jadi kita tidak boleh menganggap ia sebagai skim universiti,” katanya.
Beliau berkata, sebuah jawatankuasa bersama melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan KPT telah ditubuhkan bagi memperincikan aspek teknikal serta memastikan kebajikan tenaga pengajar terus terpelihara.
Mengulas sama ada KPT akan menetapkan standard kelayakan lebih tinggi sekiranya berlaku perubahan status, Zambry berkata, tiada perubahan dibuat setakat ini.
Katanya, kebanyakan tenaga pengajar matrikulasi dan tingkatan enam merupakan guru berijazah dan memenuhi kelayakan akademik sedia ada.
“Berdasarkan kedudukan sekarang, kita tidak berubah. Kebanyakan mereka adalah guru-guru berijazah, jadi tidak timbul isu daripada segi kelayakan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, Malaysia akan mewujudkan Education Malaysia (EM) di Arab Saudi bagi memperkukuh hubungan pendidikan dua hala.
Katanya, penubuhan EM penting sebagai pusat penyelarasan program pendidikan, kebajikan pelajar, biasiswa serta kerjasama penyelidikan, memandangkan terdapat ribuan pelajar Malaysia di Arab Saudi dan pelajar negara itu di Malaysia.
Beliau berkata, cadangan tersebut telah dibangkitkan dalam pertemuan bersama Duta Arab Saudi dan mereka mengalu-alukan hasrat Kerajaan Malaysia untuk memperluas kerjasama pendidikan. – UTUSAN





