LONDON: Prestasi cemerlang Viktor Gyokeres bersama Arsenal menjawab segala kritikan selepas permulaan hambar sejak menyertai The Gunners dari Sporting Lisbon, Oktober lalu.
Penyerang Sweden berusia 27 tahun itu juga percaya The Gunners berada di landasan terbaik selepas membenam Tottenham 4-1 dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk kekal di puncak liga.
Dalam aksi itu, Gyokeres dan Eberechi Eze masing-masing menjaringkan dua gol, hanya empat hari selepas Arsenal yang kali terakhir menjulang kejuaraan England pada tahun 2004, seri 2-2 dengan pasukan tercorot Wolves.
Kehilangan mata di Molineux kembali mencetuskan persoalan mengenai ketahanan mental Arsenal, namun kemenangan ke atas Spurs menyaksikan mereka lima mata di depan Manchester City di puncak liga.
“Ia sentiasa sukar apabila mendapat keputusan seperti yang kami alami di Wolves tetapi bagaimana anda menanganinya dan bagaimana anda memberi reaksi terhadapnya dan hari ini kami menunjukkannya dengan cara yang baik.
“Untuk mendapatkan keputusan dan persembahan seperti ini, ia adalah satu cara terbaik untuk membalas kritikan semua terhadap prestasi saya dan pasukan dalam memburu kejuaraan musim ini.
“Masih banyak perlawanan lagi, tetapi jika kami beraksi seperti ini, ia akan menjadi sesuatu yang baik,” kata Gyokeres yang telah menjaringkan 10 gol liga musim ini bersama The Gunners.
Arsenal yang tidak perlu beraksi pada play-off Liga Juara-Juara, tidak mempunyai perlawanan pertengahan minggu minggu ini buat kali pertama dalam tempoh lebih dua bulan.
Manchester City juga hanya kembali beraksi hujung minggu depan menentang Leeds di Elland Road pada Sabtu dan pengurusnya, Pep Guardiola berkata, beliau akan memberi peluang pemainnya berehat sambil menikmati koktel sepanjang minggu ini. – AGENSI/UTUSAN






