KUALA LUMPUR: Kemasukan ke pra-universiti iaitu program asasi, matrikulasi dan tingkatan enam akan melalui sistem permohonan dan tawaran tunggal atau ‘single window, single offer’.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pelajar hanya akan menerima satu tawaran kemasukan berdasarkan keputusan terbaik serta penilaian merit ditetapkan.
Katanya, ia bertujuan memastikan proses kemasukan lebih teratur dan telus, selain mengelak situasi pelajar menerima lebih daripada satu tawaran.
“Kali ini kita akan melaksanakan satu sistem sahaja iaitu sistem single window dan single offer, disekalikan.
“Maknanya kalau pelajar-pelajar tersebut dia memohon, dia hanya akan mendapat satu tawaran berdasarkan kepada kepada keputusan yang terbaik berasaskan juga kepada sistem meritokrasi yang kita tetapkan selama ini,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai penyeragaman kurikulum dan standard penilaian antara tingkatan enam, matrikulasi dan asasi, susulan pemindahan pengurusan.
Zambry berkata, daripada segi penggredan, kementerian mengekalkan mekanisme sedia ada berasaskan purata nilai gred kumulatif (PNGK) tanpa perubahan terhadap standard penilaian.
Katanya, penilaian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kekal di bawah seliaan Majlis Peperiksaan Malaysia manakala matrikulasi dan asasi terus dipantau badan akademik masing-masing.
“Daripada segi penggredan, kita meletakkan proses ini pada satu sistem yang dipanggil sebagai PNGK, maknanya tidak akan ada perubahan.
“Demikian juga dalam konteks penilaian terhadap PNGK matrikulasi yang akan diteruskan kerana ia dipantau dikawal oleh Lembaga Penasihat Akademik Program Matrikulasi yang sedia ada, demikian juga dalam konteks program asasi,” katanya. – UTUSAN





