PETALING JAYA: Kerajaan menambah kategori makanan sejuk beku ke dalam senarai barangan yang layak di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Langkah itu menjadikan keseluruhan 15 kategori barangan asas kini boleh dibeli menerusi inisiatif berkenaan.
Menurut Kementerian Kewangan, penambahan kategori makanan sejuk beku tersebut turut meningkatkan jumlah barangan yang layak dibeli menggunakan kredit SARA kepada sebanyak 140,000 jenis.
Selain itu, kerajaan juga menyasarkan peningkatan penyertaan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada 10,000 kedai menjelang hujung tahun 2026 serta mengurangkan jarak kedai runcit terdekat daripada 10 kilometer kepada tujuh kilometer.
“Melalui pelaksanaan SARA untuk Semua, isi rumah berpeluang menerima bantuan berganda bergantung kepada bilangan ahli dewasa yang layak.
“Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada suami, isteri serta dua anak berusia 18 tahun ke atas akan menerima RM400 kredit SARA secara keseluruhan, tidak termasuk bantuan SARA Bulanan sekiranya berkelayakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Program SARA Untuk Semua yang menyediakan bantuan sekali beri RM100 melalui MyKad kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas mula disalurkan bermula hari ini.
Dalam pada itu, kementerian memaklumkan bahawa dengan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion, lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia dewasa dapat memanfaatkan kredit one-off RM100 SARA untuk Semua yang sah digunakan sehingga 31 Disember 2026. – UTUSAN






