PETALING JAYA: Lima parti politik dilaporkan menawarkan keahlian kepada bekas Timbalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai wadah politik baharu susulan pemecatan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sumber memaklumkan, antara parti dikatakan membuat tawaran ialah Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), namun ia bukan satu-satunya pilihan yang ada ketika ini.
“Parti Berjasa hanya salah satu daripada parti-parti yang menawarkan ruang kepada Datuk Seri Hamzah. Ada beberapa lagi parti lain turut membuat tawaran, tetapi setakat ini beliau belum membuat sebarang keputusan muktamad.
“Tidak kurang lima parti yang telah menawarkan kepada Datuk Seri Hamzah serta ada ahli yang menyokongnya,” katanya kepada Nexbyte.
Sumber berkata, landskap politik ketika ini dianggap kurang kondusif sekiranya Hamzah berhasrat menubuhkan parti baharu lebih-lebih lagi ketika negara semakin menghampiri beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU).
“Dengan kekuatan yang didakwa merangkumi hampir dua pertiga ketua bahagian Bersatu, dua pertiga Ketua Sayap Bersekutu serta sekurang-kurangnya 19 Ahli Parlimen, adalah tidak mudah untuk beliau sekadar menyertai parti lain termasuk Pas.
“Secara asasnya, menubuhkan wadah sendiri mungkin pilihan terbaik. Namun mengambil kira pilihan raya semakin hampir, selain kemungkinan berdepan urusan prosedur yang memakan masa, pendekatan lebih realistik ialah mengambil alih parti sedia ada sebagai platform baharu,” katanya.
Bekas Ketua Bersatu Bahagian Selayang, Ahmad Nasir Mid yang turut dipecat berkata, Hamzah mempunyai kemampuan dan pengalaman mengurus dan memimpin parti, sama ada melalui penubuhan parti baharu atau menggunakan wadah sedia ada.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh serta keyakinan bahawa Hamzah bersama barisan kepemimpinan yang digelar ‘Udini’ berupaya mengemudi mana-mana platform politik yang dipilih dengan berkesan.
“Saya menyokong dan yakin Datuk Seri Hamzah serta pasukannya mampu mengurus parti sama ada menubuhkan parti baharu atau mengambil alih parti sedia ada. Dengan pengalaman dan sokongan yang ada, mereka berpotensi mencipta kejayaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.
Jumaat lalu Bersatu memecat 17 ahlinya, termasuk beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti merangkumi empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Selain Hamzah yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, turut dipecat ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob. – UTUSAN






