KUALA LUMPUR: Pelantikan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24 dilihat sebagai langkah strategik untuk memacu pembaharuan institusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan memperkukuh semula keyakinan rakyat terhadap organisasi pertahanan negara.
Majlis pelantikan yang berlangsung hari ini di Auditorium Wisma Pertahanan dan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan berkata, ATM kini berdepan cabaran besar dalam landskap keselamatan yang semakin kompleks, sekali gus menuntut kepimpinan tertinggi yang bukan sahaja berwibawa dari sudut operasi, malah mampu menjadi pemacu nilai profesionalisme dan integriti.
Sehubungan itu, menurutnya, pelantikan Malek Razak membawa mandat penting untuk memperkukuh tatakelola, akauntabiliti serta disiplin kepimpinan dalam usaha melaksanakan penetapan semula institusi secara menyeluruh.
“Pendekatan kepimpinan melalui teladan, ketegasan terhadap salah laku, serta sokongan terhadap sistem semak dan imbang dilihat sebagai asas penting dalam memulihkan kekuatan dalaman organisasi.
“Pelantikan ini juga dilihat sebagai peluang strategik untuk melaksanakan penetapan semula institusi yang menyeluruh, meliputi budaya kerja, sistem pengurusan dan amalan kepimpinan.
“Tumpuan terhadap pembinaan semula kepercayaan dalaman dan luaran diyakini mampu memperkukuh kesiapsiagaan ATM sebagai sebuah pasukan pertahanan yang profesional, berintegriti dan dihormati,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Malek Razak merupakan lulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Pengajian Pertahanan (Master of Arts in Defence Studies) dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM.
Perkhidmatan beliau bermula pada tahun 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom sebelum ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.
Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau telah mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang berwibawa.
Beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum berkhidmat di pelbagai pasukan serta memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf.
Jawatan terakhir beliau ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat.
Dengan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, pelantikan ini diyakini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendepani cabaran pertahanan negara.
Pada masa sama, ia dijangka dapat memulihkan serta memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan berteraskan integriti dan profesionalisme, sekali gus mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara. – UTUSAN






