SEREMBAN: Seorang pengarah syarikat agensi pelancongan dan umrah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta milik orang lain bernilai lebih RM40,000.
Tertuduh, Siti Fairuz Omar, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara curang menyalahgunakan harta milik seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun, iaitu wang tunai berjumlah RM41,940.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan 2/3 SIGC, Paroi di sini antara 7 September hingga 19 November tahun lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 10 Mac depan sebagai tarikh lantikan peguam serta penyerahan dokumen. – UTUSAN





