KUALA LUMPUR: Individu yang memuat naik gambar memijak al-Quran di platform media sosialnya semalam, mengaku berbuat demikian dalam keadaan marah serta dipengaruhi perasaan dendam.
Lelaki itu turut memohon maaf dan mengakui perbuatannya merupakan kesilapan besar yang jelas tidak menghormati kesucian agama Islam.
“Saya ingin memohon maaf dengan sepenuh hati atas gambar yang saya muat naik sebelum ini yang melibatkan al-Quran.
“Perbuatan saya adalah salah, tidak beradab dan sangat tidak menghormati. Tiada alasan yang boleh membenarkan tindakan saya. Saya akui bahawa saya bertindak dalam keadaan marah dan dipengaruhi perasaan dendam,” katanya.
Terdahulu, Nexbyte melaporkan, seorang penuntut universiti tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan berunsur agama, kaum dan institusi diraja (3R) dalam media sosial.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, tangkapan dilakukan hari ini.
“Permohonan reman akan dibuat bagi siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – UTUSAN




