PETALING JAYA: Empat individu termasuk tiga warga asing ditahan selepas menyimpan pelbagai dadah yang disorok dalam tong gas ‘helium’ dalam dua operasi khas di Jalan Tun Razak, di sini semalam.
Penahanan kesemua individu dijalankan Pasukan Kuala Lumpur Police Strike Force kira-kira pukul 5.30 petang di sebuah kediaman di Jalan Tun Razak hasil maklumat risikan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, dalam serbuan pertama, dua lelaki, masing-masing warga China dan Hong Kong ditahan selain seorang wanita warga China berumur antara 26 hingga 36 tahun yang disyaki mengedar dadah di sekitar ibu kota.
Katanya, pemeriksaan membawa kepada rampasan lima tong gas bertulis ‘helium’ disyaki mengandungi dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) selain peket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA serta empat katrij disyaki dadah jenis Methamphetamine.
“Saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif Amphetamine, Methamphetamine dan Ketamin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Fadil berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif mengedar dadah berbentuk tong gas yang disertakan bersama belon untuk tujuan pelanggan menghisap dadah jenis MDMA di kelab malam sekitar Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu.
Menurutnya, susulan serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 39 tahun di lokasi sama.
“Rampasan membabitkan 14 kotak mengandungi botol berisi gas disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 58.24 kilogram, tujuh bungkusan belon serta sebuah kereta jenis Perodua.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM69,491,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(2) akta sama, Seksyen 39A(1) serta Seksyen 15(1)(a) dan semua suspek akan direman pada 9 Februari bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kejayaan operasi hasil risikan berterusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur serta kerjasama orang awam.
“Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengedar, memiliki atau melindungi sebarang aktiviti berkaitan dadah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN



