KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan Institut Jantung Negara (IJN) walaupun dibenarkan pulang ke rumah secara berperingkat.
Pegawai Pejabat Tun Dr. Mahathir, Sufi Yusoff berkata, Dr. Mahathir telah dibenarkan pulang ke rumah secara sementara atau home leave bagi berehat dan tidur di kediamannya sejak dua hari lalu.
Bagaimanapun, katanya, beliau kembali ke IJN pada sebelah siang untuk meneruskan rawatan serta pemantauan pasukan perubatan.
“Hari ini genap sebulan Dr. Mahathir dirawat di IJN bagi mendapatkan rawatan akibat patah tulang pinggul kanan selepas terjatuh di kediamannya di The Mines sejak 6 Januari lalu.
“Setakat ini, pasukan perubatan IJN berpuas hati dengan tahap kemajuan pemulihan kesihatan Dr. Mahathir serta tindak balas beliau terhadap langkah perubatan dan fisioterapi yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, walaupun dibenarkan pulang ke rumah secara berperingkat, Dr. Mahathir masih berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan IJN.
“Pakar perubatan menasihatkan agar beliau tidak menerima sebarang pelawat buat masa ini, kecuali ahli keluarga terdekat.
“Dr. Mahathir bersama isteri dan keluarga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mengambil berat, bertanya khabar serta mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau,” katanya.
6 Januari lalu, media melaporkan, , Dr Mahathir dilaporkan terjatuh di kediamannya kira-kira 7.30 pagi sebelum dibawa IJN, dua jam kemudian.
Sufi berkata, Dr Mahathir dibawa ke hospital dalam keadaan sedar sebelum menjalani pemeriksaan lanjut.
Bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu, pernah dirawat di IJN pada 13 Julai tahun lalu akibat keletihan, namun dibenarkan pulang pada hari sama.- UTUSAN






