GEORGE TOWN : Penganjur Operasi Terjahan Rumah Anutan Haram yang dijadual mengadakan himpunan di sebuah kuil Hindu di hadapan Hospital Bukit Mertajam, Sabtu ini diminta supaya membatalkan demonstrasi tersebut serta-merta.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, dalam hal ini, beliau telah meminta agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) memastikan bahawa tiada sebarang perhimpunan provokasi dianjurkan oleh mana-mana pihak.
“Malaysia sebuah negara dengan masyarakat yang majmuk. Mana-mana pihak pun tak perlu jadi wira sentimen agama dan kaum. Provokasi berhimpun seperti ini tak membantu untuk menyelesaikan masalah negara, malah, mengapi-apikan kebencian yang boleh memusnahkan negara.
“Saya masuk politik (untuk) membela hak semua rakyat Malaysia tak kira kaum dan agama. Orang Islam saya jaga, orang bukan Islam saya jaga. Saya tak akan biarkan mana-mana rakyat Malaysia diugut dan dibuli,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Terdahulu, tular sebuah poster mengenai himpunan tersebut yang dipercayai diadakan bertujuan menggesa pihak berkuasa meroboh kuil yang dibina di hadapan hospital berkenaan.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal turut mengecam tindakan penganjur mengadakan himpunan berkenaan yang disifatkan tidak bertanggungjawab serta berpotensi menjadi pencetus kepada ketegangan antara kaum dan agama.
“Kami melihat insiden ini sebagai satu bentuk tindakan melulu yang cuba mengambil kesempatan atas sentimen agama untuk meraih perhatian politik murahan.
“Pulau Pinang bukan medan untuk eksperimen politik kebencian. Negeri ini dibina atas asas perpaduan, toleransi dan kematangan rakyatnya dalam mengurus kepelbagaian,” ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau berkata, AMK Pulau Pinang mendesak pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh perancangan tersebut, termasuk mengenal pasti sebarang unsur pencerobohan, ugutan atau cubaan mencetuskan ketenteraman awam.
“Kami ingin mengingatkan semua pihak iaitu jangan sekali-kali memperjudikan keamanan negeri ini demi kepentingan politik sempit.
“Rakyat Pulau Pinang menolak ekstremisme, menolak provokasi dan menolak politik yang memecah-belahkan masyarakat. Perpaduan bukan retorik. Perpaduan adalah tanggungjawab bersama,” katanya.-UTUSAN






