PETALING JAYA: Bekalan minyak petrol dan diesel di seluruh negara stabil dan tanpa sebarang gangguan meskipun terdapat perkembangan berkaitan kawalan bahan api di negara jiran.
Setiausaha Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda), Hanny Julia Haron berkata, setakat ini operasi di peringkat stesen minyak berjalan seperti biasa dengan bekalan diterima secara konsisten.
Katanya, pihak pengusaha juga tidak menerima sebarang laporan kekurangan bekalan dan situasi kekal terkawal.
“Setakat ini semua bekalan di stesen minyak di bawah kawalan dan stabil. Bekalan minyak pun hari-hari kami terima seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Nexbyte semalam.
Bagaimanapun katanya, jual beli minyak yang menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) menjadikan stabiliti bekalan turut dipengaruhi oleh faktor luaran termasuk pergerakan kadar tukaran mata wang dan harga minyak dunia.
“Stabiliti itu memang dipengaruhi kerana minyak yang kita import ini dalam dolar AS jadi memang ada kesan dengan pergerakan tukaran mata wang dan harga minyak dunia.
“Selagi perang di Iran yang kita tidak tahu bila akan berakhir, kita perlu memantau harga global setiap hari. Jika naik, maka naiklah,” katanya.
Katanya, sebarang urusan melibatkan rantaian bekalan termasuk import dan pengeluaran ditentukan syarikat minyak dan kerajaan, manakala pengusaha hanya mengendalikan operasi di stesen.
Katanya, kawalan jualan pula tertakluk sepenuhnya kepada arahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Pengehadan jualan semua itu kami ikut arahan daripada KPDN dan syarikat minyak.
Jadi, kami tidak boleh nak hadkan jualan sebab barang kawalan.
Buat masa sekarang ini tidak ada apa-apa arahan, masih kekal,” katanya. – UTUSAN






