KAJANG: Kementerian Pendidikan (KPM) sedia mempertimbangkan pelbagai pendekatan alternatif selain Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk memastikan pembelajaran murid tidak terganggu susulan fenomena cuaca panas yang melanda negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, panduan daripada Kementerian Kesihatan dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sentiasa menjadi rujukan utama dalam perancangan KPM.
“Setiap pendekatan yang diambil akan dilaksanakan bersama Kementerian Kesihatan dan MetMalaysia agar perancangan lebih tersusun dan tidak menjejaskan pembelajaran murid.
“Keutamaan kita adalah pembelajaran anak-anak dan kesihatan warga sekolah. Semua keputusan diambil berdasarkan panduan itu,” katanya kepada pemberita semepas meninjau Majlis Pengumuman SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang, hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina turut menyambut baik cadangan supaya pembelajaran dan aktiviti kokurikulum dilaksanakan di kawasan berbumbung serta penggunaan pendingin hawa bagi mengatasi kesan cuaca panas.
“Cadangan (kawasan berbumbung dan pendingin hawa) itu adalah baik dan kaedah berbumbung di sekolah-sekolah akan sentiasa ditambah baik.
“Insya-Allah, cadangan-cadangan yang dikemukakan ini kita akan pertimbangkan di peringkat kementerian,” katanya.
Sabtu lalu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan pelaksanaan PdPR selama tiga hari bermula Ahad sehingga Selasa.
Pelaksanaan PdPR itu membabitkan 206 sekolah di Kota Setar dan Pendang selepas kedua-dua daerah itu merekodkan bacaan suhu harian gelombang haba pada Tahap 2 selama tiga hari berturut-turut. – UTUSAN






