SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel MRT Laluan Putrajaya menerusi satu operasi yang dijalankan baru-baru ini.
Tangkapan itu dibuat hasil maklumat risikan serta intipan yang digerakkan secara bersama oleh Unit Polis Bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pasukan PDRM dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.
Kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 45 tahun itu turut dibawa ke lokasi kejadian bagi tujuan pengecaman selain membantu siasatan berkaitan barang kes yang ditemui.
Tangkapan tersebut dibuat susulan laporan polis yang dikemukakan oleh Prasarana berhubung kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Sri Damansara Barat pada 3 Mac lalu.
Insiden berkenaan menyebabkan gangguan kepada operasi perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari sekali gus menimbulkan kesulitan kepada ribuan pengguna pengangkutan awam kendalian Prasarana.
Presiden Prasarana, Amir Hamdan berkata, kerjasama antara Unit Polis Bantuan Prasarana dan PDRM akan terus diperkukuh melalui usaha pemantauan, intipan serta perkongsian maklumat secara berterusan bagi memastikan kegiatan kecurian kabel dapat dibanteras sepenuhnya.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana turut merakamkan penghargaan kepada pasukan PDRM dari IPK Selangor atas tindakan pantas dan profesional dalam memberkas suspek serta membantu mempercepatkan proses siasatan.
“Prasarana akan terus memperkukuhkan langkah keselamatan di sepanjang jajaran MRT Laluan Putrajaya termasuk meningkatkan rondaan keselamatan, pemantauan serta kerjasama strategik dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan infrastruktur pengangkutan awam sentiasa terpelihara.
“Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan kemudahan pengangkutan awam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN




