PETALING JAYA: Pasukan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) merampas 4,486 karton rokok kretek dan rokok putih pelbagai jenama serta mercun, dengan nilai keseluruhan selepas cukai dianggarkan RM850,000.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, rampasan itu dibuat melalui satu serbuan di Kampung Paris III, Kinabatangan, Sabah dan dalam serbuan sama pihaknya turut merampas 143 karton mercun pelbagai jenis.
Menurutnya, antara jenama rokok yang dirampas seperti Astro Merah, Neslite, Astro Fuze, Era Biru, L.A Bold, Nice, Extreme Mild, A Satu Premium dan Tembakau Salak yang disembunyikan sama ada dalam kotak atau plastik yang telah melanggar Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
“Barang rampasan iaitu rokok kretek dan putih serta mercun telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, operasi dilakukan selepas menerima maklumat awam mengenai aktiviti penyeludupan rokok.
Katanya, operasi pemeriksaan dan serbuan mengejut dilaksanakan pada Rabu lalu di tiga premis tidak bernombor di kampung berkenaan.
“Operasi itu menunjukkan komitmen ESSCOM untuk membanteras jenayah rentas sempadan (JRS) dan menjaga keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).
“Kita akan mempergiat koordinasi operasi bersama pasukan keselamatan lain bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan seperti rompakan laut dan penyeludupan kontraban melalui operasi bersepadu di kawasan daratan serta perairan ESSZone.
“Saya amat mengalu-alukan kerjasama orang awam melaporkan terus sebarang maklumat, aktiviti dan insiden mencurigakan ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181,” katanya. – UTUSAN






