PETALING JAYA: Di sebalik tugas sebagai Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tidak terkecuali melalui detik mendebarkan sebagai seorang ibu apabila menyaksikan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 anaknya, Maryam.
Momen penuh emosi itu dikongsikan menerusi Facebook miliknya, sekali gus memperlihatkan sisi peribadi beliau yang jarang dipertontonkan kepada umum ketika menanti keputusan diumumkan secara dalam talian.
“Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. Ini gambar semasa kami baharu betul-betul melihat keputusan Maryam selepas keputusan atas talian,” katanya.
Katanya, kejayaan yang diraih tidak terpisah daripada peranan besar para pendidik dan asatizah yang mendidik dengan penuh komitmen.
“Kejayaan hari ini memang hasil sentuhan para guru yang sangat komited melakukan yang terbaik untuk anak-anak bangsa.
“Maryam juga telah kami pasakkan bahawa tiada kejayaan tanpa usaha. Terus tunduk dengan rendah jiwa dan bersyukur.
“Tahniah kepada semua batch 08! Kalian memang hebat, “resilient” dan kuat semangat!,” katanya.
Perkongsian itu turut menerima reaksi positif warganet yang menyifatkan ia sebagai gambaran keikhlasan seorang ibu di sebalik tanggungjawab besar menerajui kementerian. – UTUSAN






