GEORGE TOWN : Penang FC masih menunggu keputusan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung tindakan Kuching City FC yang didakwa menurunkan pemain yang tidak disenaraikan sebagai pemain gantian pada aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bandaraya, 14 Mac lalu.
Pengerusi Lembaga Pengarah Penang FC, Daniel Gooi Zi Sen berkata, beliau berharap agar MFL akan berlaku adil kepada mereka kerana pasukan lawan secara terang-terangan telah melanggar peraturan yang ditetapkan iaitu menurunkan pemain yang tidak didaftarkan untuk bermain.
“Dalam hal ini, saya juga ingin menarik perhatian terhadap satu kes yang hampir sama berlaku sebelum ini iaitu melibatkan perlawanan antara Selangor FC dan PDRM FC dalam aksi Piala Cabaran tahun lepas.
“PDRM FC ketika itu telah menurunkan seorang pemain yang tidak layak beraksi dalam perlawanan tersebut dan MFL telah menghukum mereka dengan memberikan kemenangan 3-0 kepada Selangor. Jadi, kita harap MFL akan bertindak seperti dalam kes ini,” kata beliau ketika ditanya mengenai perkembangan kes itu, hari ini.
Dalam aksi yang berkesudahan dengan Penang FC tewas 0-1 itu, pemain import Kuching City, Scott Woods, didakwa dimasukkan sebagai pemain gantian walaupun namanya tidak tersenarai dalam senarai rasmi pemain simpanan bagi perlawanan tersebut.
Susulan pelbagai rungutan yang diterima, Penang FC kemudian membuat aduan rasmi kepada MFL bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus dan adil.
Sementara itu, Daniel berkata, menjelang aksi final pertama Piala Cabaran antara Penang FC dan Sabah FC di Stadium Bandaraya pada 4 April ini, semua warga emas serta mereka yang lahir pada bulan April akan diberikan akses percuma untuk menyaksikan perlawanan tersebut.
“Dalam hal ini, penyokong yang layak hanya perlu menunjukkan kad pengenalan di pintu masuk stadium sahaja untuk tujuan pengesahan,” katanya yang memberitahu, tiket bagi perlawanan akhir itu juga telah mula dijual secara dalam talian menerusi ‘tickethotline’.
Terdahulu, beliau hadir menyaksikan perjanjian kerjasama sulung antara Penang FC dengan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) bagi pengurusan dan pembangunan pasukan Piala Belia (Bawah 18 Tahun) dan Piala Presiden (Bawah 20 Tahun) untuk musim 2026.
Di bawah inisiatif itu, Penang FC akan menyediakan peruntukan bajet keseluruhan manakala FAP pula akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan dan operasi kedua-dua pasukan dengan semua pembayaran gaji pemain dan barisan kejurulatihan akan diselaras mengikut bajet yang diluluskan.-UTUSAN






