PETALING JAYA: KK Mart terus memperkukuh tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan sempena Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.
Pengarah KK Mart, Datuk Seri Dr. KK Chai berkata, Ramadan merupakan bulan istimewa untuk berkongsi rezeki bersama masyarakat.
Katanya, dengan lebih 1,100 cawangan di seluruh negara, KK Mart berupaya memperluaskan sumbangan kepada masyarakat.
“Sumbangan kewangan turut disalurkan kepada organisasi kebajikan seperti Yayasan Waqaf Pendidikan Anak Yatim atau Miskin Malaysia (YAWATIM) dan Pertubuhan Kebajikan Al-Jamiatul Khairiah bagi membantu golongan memerlukan.
“KK Mart juga tidak melupakan bantuan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, makanan kering dan produk kebersihan kepada pelbagai institusi termasuk rumah kebajikan, masjid serta pertubuhan pelajar.
“Rezeki kami dikongsi bersama dan ini sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa menyokong kami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu KK Mart dan Tmas Sdn. Bhd. mengagihkan lebih 1,500 bekas bubur lambuk kepada orang ramai di beberapa lokasi termasuk Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Lebuhraya MEX dan Masjid Ibnu Khaldun, Sungai Besi.
Berbeza pula dengan Program Bubur Lambuk Malaysia MADANI, lebih daripada 100,000 bekas bubur diedarkan kepada seluruh kementerian , hospital, balai polis dan Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur. Penghasilan bubur lambuk dalam kuantiti besar ini melibatkan kerjasama KK MART dengan rakan strategik lain seperti D’Tandoor International Group of Restaurants, Tenaga Nasional Berhad, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Sunway Group.
Inisiatif ini dilaksanakan bagi menyemarakkan tradisi Ramadan dikalangan masyarakat. – UTUSAN






