KUALA LUMPUR: Kos menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M kekal pada RM33,300 meskipun berdepan peningkatan harga minyak dunia ketika ini.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, pihaknya mengambil kira faktor kenaikan kos bahan api itu dalam perjanjian sedia ada dengan syarikat penerbangan.
Katanya perjanjian selama tiga tahun yang dimeterai bersama syarikat penerbangan, termasuk Saudia Airlines dan Malaysia Airlines membolehkan kos penerbangan dikawal dalam julat tertentu.
“Dalam perjanjian itu, kita sudah lock harga termasuk mengambil kira kemungkinan kenaikan harga minyak.
“Walaupun terdapat klausa pelarasan jika harga minyak melepasi paras tertentu, TH masih mampu menyerap kenaikan itu buat masa ini.
“Bagi tahun 1447 Hijrah, jemaah tidak perlu risau kerana kos yang diumumkan kekal dan tidak akan berubah,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman Agihan Keuntungan Tabung Haji di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Abdul Rashid berkata, harga minyak dunia yang melepasi paras AS$90 (RM352.01) setong sememangnya memberi kesan kepada kos operasi, bagaimanapun TH mengambil langkah pengurusan berhemah bagi memastikan beban itu tidak dipindahkan kepada jemaah.
“Memang ada peningkatan kos yang tidak dapat dielakkan, tetapi kita mampu menyerapnya tanpa menjejaskan bakal jemaah dan tiada gangguan atau perubahan kepada kos haji yang sudah ditetapkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kos haji akan disemak semula pada masa hadapan sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan dan terus menekan harga minyak global.
“Ia bergantung kepada tempoh situasi itu berpanjangan. Jika berterusan dalam jangka masa panjang, kita mungkin perlu membuat semakan semula kos pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, TH memberi jaminan keselamatan dan kebajikan jemaah sentiasa menjadi keutamaan, selain memastikan setiap keputusan yang dibuat tidak menjejaskan kepentingan pendeposit.
Mengulas lanjut, beliau berkata, situasi di Asia Barat sentiasa dipantau secara rapi melalui jawatankuasa khas yang ditubuhkan.
“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada pendeposit dan bakal jemaah haji.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya merujuk kepada TH sebagai sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat sahih, sekali gus mengelakkan penyebaran berita tidak tepat,” katanya.
Terdahulu Zulkifli mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun sejak 2018.
Agihan itu lebih tinggi berbanding 3.25 peratus bagi 2024 mencerminkan prestasi kewangan lebih baik, sekali gus terus memperkukuh kedudukan sebagai institusi simpanan Islam utama di Malaysia.
Zulkifli berkata, ia melibatkan jumlah RM3.22 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara.
“Agihan keuntungan tersebut ditetapkan selepas mengambil kira zakat sebanyak 2.577 peratus berjumlah RM95.3 juta, bagi pihak pendeposit, kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN).
“Agihan ini dibuat selaras dengan Akta Tabung Haji 1995, selepas penyata kewangan TH bagi 2025 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara,” katanya.
Sejak penubuhannya 62 tahun lalu, TH telah mengagihkan sebanyak RM49 bilion keuntungan secara kumulatif kepada para pendeposit.
TH mencatat jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM4.64 bilion pada 2025, berbanding RM4.56 bilion pada tahun 2024.
Aset pelaburan pula meningkat daripada RM95.06 bilion kepada RM96.37 bilion. mencerminkan pertumbuhan portfolio berterusan dengan mengekalkan struktur lokasi aset yang seimbang.
Pengurusan kos yang berdisiplin serta pengurusan portfolio berhemat di bawah kerangka Alokasi Aset Strategik (SAA) adalah antara penyumbang utama kepada prestasi TH tahun ini.
Senario ekonomi tempatan yang kian bertambah baik turut memberi impak positif. – UTUSAN





