KEPALA BATAS : Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) kini sedang mengintai peluang untuk meneroka pasaran baharu dalam usaha mengurangkan impak daripada krisis yang berlaku di Asia Barat khususnya terhadap prestasi perdagangan negara.
Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sehubungan itu, semua pesuruhjaya perdagangan telah diarah untuk membuat risikan terhadap pasaran baharu yang berpotensi selain mahu Terma-terma Rujukan (TOR) terhadap aktiviti perniagaan sedia ada diperbaharui.
“Saya nak mereka (pesuruhjaya perdagangan) kembalikan kepada kita (Matrade), risikan-risikan pasaran semasa. Sebabnya, setiap kali berlaku sesuatu musibah atau suatu keadaan yang dianggap tragedi, maka, setiap kali itu juga akan ada ‘window of opportunity’ atau jendela peluang.
“Jadi, pasaran ’emerging market’ atau zon-zon yang tidak berkonflik seperti di negara Asia Tengah termasuk Kazakhstan, Turkmenistan, Tajikistan dan Uzbekistan menjadi pilihan. Ini semua negara yang sedang membangun dan mempunyai pasaran yang sedang meningkat.
“Begitu juga dengan negara-negara Afrika, negara yang tak melalui Laut Merah, negara yang tak melalui Terusan Suez sebagai ‘transhipment'(pemindahan kargo) antara Timur dan Barat dan sebagainya. Kita nak lihat pasaran mana yang terganggu. Mungkin itu juga peluang kita (untuk terokai pasaran baharu),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas langkah atau strategi Matrade bagi mengurangkan kesan peningkatan konflik geopolitik di Asia Barat terhadap perdagangan negara terutamanya susulan penutupan Selat Hormuz oleh Iran yang menjadi laluan kapal minyak ketika ini.
Terdahulu, Reezal Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam menyampaikan bantuan kepada hampir 700 penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kasih Ramadan dan Ceria Aidilfitri Perpaduan Kepala Batas 2026 di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Bertam di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, Matrade juga ketika ini sedang berusaha untuk mempergiatkan integrasi perdagangan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.
Katanya, kepelbagaian langkah yang diambil itu bertujuan mengekalkan momentum pencapaian tahun lalu yang merekodkan jumlah perdagangan melebihi RM3 trilion dan eksport RM1.6 trilion.-UTUSAN






