JOHOR BAHRU: Nilai mata wang ringgit yang tinggi berbanding rupiah memberi kelegaan kepada warga Indonesia yang pulang menyambut hari raya di tanah air mereka.
Majoriti warga Indonesia ditemui di Terminal Feri Stulang Laut di sini untuk pulang ke kampung mengakui nilai ringgit itu memberi kelebihan kepada mereka apabila ditukarkan ke rupaih.
Menurut mereka, ia memberikan mereka lebihan nilai untuk berbelanja apabila tiba di kampunmg halaman.
Fikri Ramadhan, 41, berkata, walaupun pulang ke kampung halaman pada saat akhir, perkara itu tidak menghalangnya untuk membeli barangan keperluan Aidilfitri buat ahli keluarga setibanya di Batam.
“Saya pulang raya lewat kerana kerja, tetapi itu bukan masalah kerana Johor Bahru dan Batam tidak jauh. Apatah lagi pekerjaan saya dibayar secara harian, jadi lebih banyak kerja lebih banyak wang gaji dibawa balik.
“Ringgit semakin tinggi nilai berbanding rupiah, jadi saya tidak sabar pulang dan belikan barangan keperluan seperti makanan dan pakaian baharu kepada ahli keluarga.
Ahli keluarga saya memang sedang menunggu di sana,” katanya kepada Nexbyte.
Fikri bekerja sebagai kontraktor pembinaan di Johor Bahru sejak lebih 10 tahun lalu bagi menanggung kehidupan ahli keluarganya yang terdiri daripada seorang ibu dan tiga adik perempuan.
“Saya akan bercuti selama seminggu sebelum kembali ke Johor Bahru,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi warga Indonesia, Dewi Anggraini, 27, berkata, ini kali pertama dia pulang beraya di kampung halaman selepas datang bekerja di sebuah restoran di bandar raya ini sejak dua tahun lalu.
“Mungkin tidak terlalu lama, hanya dua tahun lalu tetapi saya tetap gembira untuk pulang beraya. Saya mahu belanja barang-barang dapur di rumah untuk gembirakan ibu dan ayah,” katanya yang pulang bersama dua rakan senegaranya.
Seorang petugas terminal memberitahu, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, sebanyak 30 ‘trip’ feri disediakan setiap hari, peningkatan berbanding 21 di luar musim perayaan.
Pertambahan bilangan feri itu susulan permintaan tinggi diterima daripada warga Indonesia yang mahu pulang ke kampung halaman dan daripada rakyat Malaysia yang mahu bercuti. – UTUSAN






