KUALA LUMPUR: Peguam kepada isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid iaitu Nizamuddin Hamid, direkod keterangan di Bukit Aman di sini kira-kira tiga jam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan.
Menurut Nizamuddin, proses rakaman percakapan dilakukan secara profesional dan berjalan lancar oleh pihak polis.
“Saya hari ini hadir memberi keterangan kepada diberikan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bagi siasatan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
“Rakaman percakapan dimulakan pada kira-kira 10.30 pagi dan mengambil masa kurang tiga jam,” katanya selepas selesai proses rakaman keterangan berkenaan, di sini hari ini.
Terdahulu Nizamuddin tiba di pekarangan Bukit Aman pada 10.10 pagi diiringi peguamnya, Datuk Khalid Yusoff dan Izwan Ariff.
Menurutnya, dalam isu itu orang ramai perlu memberi tumpuan kepada realiti dan menghindari dakwaan yang tidak berasas.
“Realitinya anak guam kami tidak ada kena mengena langsung dengan laporan Bloomberg yang menjadi isu dalam siasatan ini.
“Anak guam kami, Toh Puan Na’imah dan ahli keluarganya juga berhak mempertahankan nama Allahyarham dan legasinya sama ada melalui media atau di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, dakwaan tertentu yang dikaitkan dengan kes berkenaan juga tidak berasas.
“Seorang balu berusia 70 tahun tidak mampu dan tidak boleh menggugat demokrasi berparlimen negara ini.
“Dakwaan kononnya ada penglibatan Zionis Israel dalam perkara ini juga adalah fantasi,” katanya.
Menurutnya, sepanjang sesi rakaman percakapan itu, pihak polis mengemukakan kira kira 90 soalan.
“Saya tidak mahu mengulas secara terperinci mengenai siasatan kerana ia masih dalam siasatan polis.
“Apa yang boleh saya katakan, jumlah soalan yang dikemukakan mungkin sekitar 90 soalan,” katanya.
Tambahnya, tiada sebarang telefon atau peranti lain dirampas oleh pihak polis sepanjang proses rakaman percakapan itu.
Sementara itu, peguam Zaid Malek berkata, beliau bersama seorang lagi peguam, Azad Akbar Khan hadir mewakili dua individu yang turut dipanggil memberi keterangan dalam siasatan sama.
Menurutnya, kedua-dua individu berkenaan disenaraikan antara 14 nama dalam satu e-mel yang didakwa diserahkan kepada polis oleh pengadu berkaitan dakwaan komplot menggulingkan kerajaan.
“Namun kedua-dua mereka hanyalah penganalisis dan pengkritik politik, jadi kami tidak nampak bagaimana mereka boleh dikaitkan dengan sebarang komplot untuk menggulingkan kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya berpandangan tindakan memanggil dan menyiasat dua anak guamnya menimbulkan persepsi wujud cubaan intimidasi terhadap individu yang sekadar bertindak sebagai penganalisis dan pengkritik politik.
Pada 27 Februari lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, satu laporan diterima pihaknya berkenaan isu terbabit dengan dakwaan melibatkan seorang individu tempatan berpengaruh dengan agensi media antarabangsa.
Beliau dilaporkan berkata, siasatan perkara itu dijalankan oleh USJT JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
Na’imah sebelum ini menyifatkan dakwaan cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan sebagai tidak masuk akal, sambil menegaskan tidak pernah terbabit, mempertimbangkan atau menyokong sebarang usaha sedemikian.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana sebuah kerajaan boleh digulingkan dengan bantuan media antarabangsa atau firma perhubungan awam dan menegaskan mendapatkan khidmat nasihat firma perhubungan awam (PR) profesional bukan satu kesalahan.- UTUSAN


