KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan mewakili ahli perniagaan, Albert Tei akan memfailkan permohonan untuk memindahkan lima pertuduhan rasuah yang dihadapi lelaki itu daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Perkara itu dimaklumkan peguam bela, Mahajoth Singh pada sebutan semula kes dihadapan Hakim Rosli Ahmad di sini hari ini.
Mahajoth ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi secepat mungkin.
“Permohonan dibuat kerana ia berkaitan dengan isu undang-undang yang melibatkan pertuduhan terhadap tertuduh,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen kes kepada pembelaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 April ini untuk sebutan semula kes.
Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 38, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Dia didakwa atas empat pertuduhan memberikan suapan wang tunai RM140,000 dan kelengkapan perabot termasuk barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 kepada Shamsul Iskandar.
Suapan itu sebagai dorongan membantu syarikat tertuduh mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipal.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024.
Albert turut didakwa memberi suapan berjumlah RM64,924 kepada Shamsul Iskandar yang dimasukkan ke dalam akaun bank seorang wanita bagi tujuan pembayaran penyewaan rumah di Kuala Lumpur bagi tujuan yang sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 November 2023 hingga 23 September 2024.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN





