JOHOR BAHRU: Pemuda UMNO terbuka menerima bekas pemimpin parti itu yang mahu kembali aktif dalam perjuangan parti walaupun situasi berkenaan mungkin mengurangkan peluang calon-calon sayap berkenaan bertanding dalam pilihan raya.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, apa yang penting adalah individu diletakkan sebagai calon itu menepati kriteria iaitu boleh menang, diterima dan juga disenangi rakyat.
“Perkara pertama adalah sifat keterbukaan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta parti untuk menerima kembali bekas-bekas pemimpin, saya ucapkan selamat kembali kepada mereka.
“Terima kasih kerana masih menyokong dan mendokong parti ini yang tidak pernah meninggalkan perjuangan bersama rakyat. Pemuda UMNO terima kepulangan mereka dengan hati terbuka, tiada masalah,” katanya ketika ditemui pada program Rumah Terbuka Aidilfitri di Kempas, malam tadi.
Mohd. Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor bagaimanapun memberitahu, pihaknya kekal yakin dengan kemampuan generasi muda untuk bertanding mewakili parti.
“Berdasarkan rekod tiga pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon muda berhasil apabila mereka diterima rakyat dan menang.
“Jadi seperti kenyataan bekas pemimpin bahawa mereka kembali sebagai ahli biasa dahulu, saya fikir keputusan selepas itu terletak kepada kewibawaan presiden dan juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menilai.
“Mana-mana calon yang layak dan diyakini boleh menang (pilihan raya), kita sokong dan terima dengan terbuka,” katanya lanjut.
Terdahulu, beberapa nama besar dalam arena politik tanah air seperti Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin telah memaklumkan hasrat untuk kembali aktif bersama UMNO susulan inisiatif Rumah Bangsa yang diilhamkan Ahmad Zahid. – UTUSAN





