SUNGAI BULOH: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli diminta untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perjanjian mega yang dianggarkan. melibatkan RM1.1 bilion dan berhenti mengelirukan rakyat.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R Ramanan berkata, Rafizi perlu menjelaskan persoalan melibatkan perjanjian itu yang dibangkitkan iaitu pemberian kepada kenalannya.
Beliau berkata, bekas Timbalan Presiden PKR itu perlu memberi kerjasama penuh terhadap SPRM dan jawab dakwaan ke atas dirinya secara berfakta.
“Bukan pergi sana, kamu cari yang lain, ‘goreng-goreng’ dan ‘masak-masak’ lalu keluarkan tomahan terhadap kerajaan, jangan buat begitu dan jangan mengelirukan rakyat. Jangan ingat boleh taruh fitnah kepada Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atau parti (PKR), kita pun ada had kesabaran.”
“Yang dikatakan berkaitan kontrak RM1.1 bilion itu, tiada siapa mengatakan bahawa dia (Rafizi) ambil jumlah tersebut, yang dikatakan adalah kontrak itu diberikan kepada kenalannya, jawab itu,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siasatan SPRM itu menyempurnakan Program Sumbangan Bakul Makanan dan Edarak Bubur Lambuk Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) 2026 di Dewan MPKS Saujana Nexbyte.
Media sebelum ini melaporkan, Rafizi dikaitkan dengan perjanjian mega Kementerian Ekonomi yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion di antara kerajaan Malaysia dengan syarikat asing.
SPRM pula dilaporkan sudah merakam keterangan seorang bekas menteri Kerajaan Madani berhubung siasatan kes terbabit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam mengesahkan 12 individu, termasuk ketua setiausaha kementerian dan Lembaga Pembangunan Pelaburan (MIDA) sudah dipanggil memberi keterangan berhubung isu sama.
Bagaimanapun, pada 5 Mac lalu, Ahli Parlimen Pandan itu dilaporkan masih belum memberi keterangan mengenai kontroversi membabitkan dirinya.
Sementara itu, Ramanan turut membidas Rafizi yang kerap kali mengeluarkan kritikan terhadap kerajaan terutama kepada Anwar yang juga Perdana Menteri.
“Saya tidak mahu komen tentang ini tetapi kebelakangan ini, ia sudah menjadi sandiwara. Semua benda kita (kerajaan) buat salah, semua benda yang dia buat betul.
“Saya nak ingatkan beliau, beliau merupakan Menteri Ekonomi sebelum ini, apa pencapaian dia? Dia kutuk, hina dan kritik sini,” katanya.- UTUSAN






