ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan melaksanakan program ‘Car Free Saturday’ (Sabtu Tanpa Kenderaan) bermula 2 Mei sebagai langkah memperkukuh komitmen ke arah pembangunan bandar raya yang lebih lestari, sihat dan berdayahuni.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, program yang akan berlangsung di sekitar Dataran Medan Bandar dijadual dilancarkan oleh Tunku Mahkota Kedah selaku penasihat dan penyokong utama inisiatif berkenaan.
“Bermula Mei ini, beberapa laluan utama di pusat bandar akan ditutup kepada kenderaan bermotor pada Sabtu minggu pertama setiap bulan dari pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi.
“Antara jalan terlibat Lebuhraya Darul Aman, Jalan Tunku Ibrahim, Jalan Sultan Badlishah, Jalan Istana Lama dan Jalan Stadium.
Sebahagian jalan akan ditutup sepenuhnya manakala sebahagian lagi dibuka secara sehala bagi memudahkan pergerakan penduduk setempat,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Tambah beliau, penutupan itu bertujuan memberi ruang kepada orang ramai menjalankan aktiviti riadah seperti berjalan kaki, berbasikal dan senamrobik dalam suasana lebih selamat dan kondusif. – UTUSAN






