PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan umat Islam mengambil pedoman dan pengajaran daripada konflik serta peperangan di Asia Barat yang memberi kesan besar di seluruh dunia.
Baginda bertitah, rakyat seharusnya bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah, namun tidak boleh leka dan lalai.
“Beta mahu umat Islam perlu terus memperkukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan serta mengelakkan sebarang pertelingkahan dan perbalahan sesama sendiri. Jadikan apa yang berlaku di luar sana sebagai pedoman dan pengajaran.
“Beta berharap seluruh rakyat jelata daripada peringkat pemimpin, ahli politik sehinggalah kepada rakyat biasa, memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri dan memakmurkan negara,” titah baginda menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office.
Sultan Sharafuddin turut bertitah agar rakyat sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk mengamalkan sikap berhati-hati dalam perbelanjaan.
“Justeru, ke arah mendepani sebarang ketidaktentuan khususnya impak kepada ekonomi, Beta menyeru agar setiap rakyat bersedia dengan apa jua kemungkinan termasuk berhati-hati dalam berbelanja, bak kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan’,” titah baginda. – UTUSAN






