JOHOR BAHRU: Kumpulan Sunway memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dengan menyantuni 61 warga emas dari Pusat Jagaan Impian Syimah dan Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor di Jalan Kemuncak, Taman Nong Chik di sini.
Inisiatif yang dilaksanakan menerusi program Sinar Ramadan 2026 itu dijayakan dengan kerjasama Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSJ), Selangor Youth Community (SAY) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City Iskandar Puteri, Gerard Soosay berkata, kerjasama pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mencerminkan sinergi kukuh antara sektor korporat dan komuniti setempat.
“Program yang mula dilaksana sejak 2014 ini telah memberi manfaat kepada lebih 100,000 penerima, sekaligus menjadikannya sebahagian daripada budaya dan nilai teras syarikat.
“Kita bukan sahaja menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan, malah menggalakkan penglibatan aktif warga Sunway dalam aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sunway, Datin Paduka Sarena Cheah.
Tambah Gerard, selain sumbangan peribadi, pusat jagaan dan persatuan kebajikan terlibat turut menerima sumbangan barangan runcit bernilai RM1,500 sebulan bagi tempoh dua bulan untuk menyokong keperluan operasi mereka. – UTUSAN





