JOHOR BAHRU: Peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Berhad (UDA) meraikan seramai 100 anak yatim dan asnaf menerusi Program Sinar Ramadan UDA 2026 di sini hari ini.
Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan UDA, Radziah Mohamed Fadzil berkata, menerusi program itu penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh Johor diperuntukkan RM350 setiap seorang bagi membeli-belah pakaian serta kelengkapan Aidilfitri sempena sambutan Syawal yang bakal tiba.
“Hampir RM30,000 zakat wakalah disalurkan bagi pembelian pakaian dan kelengkapan baharu kepada 85 penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh yang berusia antara 12 bulan hingga 28 tahun.
“Sumbangan ini diharap dapat memberi keceriaan kepada anak-anak agar turut sama menikmati kemeriahan Syawal selain menjadi inspirasi kepada UDA untuk terus berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan,” katanya.
Tambah Radziah, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilaksanakan sejak 2021 dimana ia selari dengan aspirasi ‘Memenuhi Impian’ UDA, tahun ini.
“Sumbangan zakat wakalah itu dilaksanakan menerusi salah satu tunggak utama UDA Prihatin iaitu Memperkasa Kehidupan yang memberi tumpuan kepada sokongan komuniti memerlukan di sekitar wilayah pembangunan perniagaan UDA.
“Selain itu, tiga lagi tunggak program UDA Prihatin ialah Pendidikan, Usahawan serta Projek Penambahbaikan yang memberi fokus kepada pemerkasaan masyarakat secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN






