JOHOR BAHRU: Peningkatan harga bahan api global susulan ketegangan di Asia Barat antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran mendorong sebahagian pemilik kenderaan Singapura merentas Tambak Johor bagi mengisi minyak di bandar raya ini.
Perkara itu susulan kenaikan harga RON95 di republik berkenaan yang kini mencecah SGD3.30 (RM10.12) seliter, tertinggi dalam tempoh beberapa tahun lalu.
Tinjauan Nexbyte di beberapa stesen minyak sekitar bandar raya ini mendapati banyak kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi minyak walaupun bukan pada waktu hujung minggu.
Seorang warga Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Daniel, 38, berkata, walaupun RON97 di Malaysia dianggap sebagai minyak mahal, tetapi ia masih jauh lebih murah berbanding RON95 di Singapura.
“Kalau dibandingkan, isi minyak di sini memang lebih murah, bukan sahaja kerana kadar tukaran wang tetapi harganya juga masih murah berbanding harga negara lain. Jadi memang berbaloi masuk ke Malaysia untuk mengisi minyak kenderaan.
“Ketegangan yang sedang berlaku di Asia Barat sudah menjejaskan harga minyak di rantau ini, tetapi rakyat Malaysia masih bertuah kerana harga minyak masih stabil,” katanya.
Seorang lagi rakyat Singapura, Nor Aini Hassan, 43, berkata, perbandingan harga antara petrol di kedua-dua negara semakin ketara baru-baru ini.
“Memang ramai kawan-kawan saya yang datang ke Malaysia untuk mengisi minyak kenderaan, jika sebelum ini kadang-kadang kita masuk Malaysia kemudian balik Singapura tanpa mengisi minyak, tetapi dengan harga semasa, kita mesti isi minyak penuh dahulu sebelum balik.
“Kualiti minyak bagi saya sama sahaja, cuma perbezaan ketara pada harganya. Isi di sini memang lebih berbaloi. Kerajaan Malaysia juga benarkan rakyat Singapura isi RON97, jadi tiada masalah,” katanya. – UTUSAN






